Laman Rasmi

Email: [email protected]
Hotline: 0162572747
Hotline: 0162572747
Email: [email protected] | Hotline: 0162572747

UCAPAN ALUAN KEPIMPINAN

Cikgu Dol Malek Kusnin

Mantan Pengetua 1983-2000

Kata Aluan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya memberikan sepatah dua kata dalam laman web Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM).

Yayasan Anda Akademik (YAA) sebagai institusi pendidikan telah berusaha dan berjaya mewujudkan kesedaran hidup beragama dengan akidah yang kukuh bagi menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Mata pelajaran Prinsip Islam yang membicarakan perkara semasa di luar kerangka silibus Kementerian Pendidikan dapat membantu para graduannya memahami konsep “insan akademis yang bertaqwa”.

Saya mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa PAYAM yang telah berjaya mewujudkan laman sesawang atau laman web bagi memungkinkan ahli saling bertukar maklumat dan pandangan dengan harapan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Adalah diharapkan para ahli dapat memanfaatkan jaringan maya di internet sebaik mungkin dengan melayani perbezaan pendapat secara sopan dan beradab selari dengan moto YAA “insan akademis yang bertaqwa”.

Akhir kalam, saya mengharapkan ahli PAYAM dapat melayari laman web sebaik mungkin. Sekiranya teknologi internet ini digunakan dengan sebaik-baiknya, ia akan mendatangkan manafaat dan memperolehi ganjaran pahala, jika sebaliknya akan memudaratkan diri di hari pembalasan.

Sekian, Terima Kasih

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Cikgu Dol Malek Kusnin

Cikgu Mohd Nazib Abu Bakar

Mantan Pengetua YAA dari 2000-2003

Kata Aluan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, tiada lafaz lain melainkan bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat saya memberikan kata-kata aluan pada laman sesawang Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM).

Yayasan Anda Akademik telah diasaskan oleh gabungan graduan daripada pelbagai pusat pengajian tinggi di negara ini mencakupi maktab perguruan dan institusi pengajian tinggi tempatan ketika itu. Penghargaan yang tinggi ini harus diberikan kepada pengasas dan pelopor sekolah swasta ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan idea ini sekitar tahun 1971. Dengan objektif untuk menyediakan ruang dan platform kepada pelajar-pelajar bagi meneruskan pendidikan arus perdana ketika itu, Yayasan Anda Akademik  telah menjadi pilihan remaja dan ibu bapa di dalam merealisasikan cita-cita mereka serta keluarga.

Selain itu, objektif istimewa Yayasan Anda Akademik ini ialah untuk melahirkan Insan Akademis yang Bertaqwa, akhirnya berjaya melahirkan ramai tokoh yang cemerlang di dalam perkhidmatan awam dan swasta di negara ini.

Kejayaan tersebut adalah hasil daripada komitmen tenaga pengajar, para pentadbir dan kerjasama para pelajarnya yang sanggup berkorban tenaga dan idea. Sudah tentu kejayaan indah ini sepatutnya dikongsi bersama-sama generasi dahulu dan kini melalui laman sesawang Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik ini.

Penghargaan tinggi saya ucapkan kepada Ahli Jawatankuasa PAYAAM yang telah berusaha mewujudkan laman sesawang ini sebagai tempat rujukan pelbagai  maklumat dan perkongsian idea untuk dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi kini dan yang akan datang.

Sekian, Terima Kasih

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Cikgu Mohd Nazib Abu Bakar