Laman Rasmi

Email: [email protected]
Hotline: 0162572747
Hotline: 0162572747
Email: [email protected] | Hotline: 0162572747

UCAPAN PENAUNG

PENAUNG:
YB. Dato' Seri Haji Anwar bin Ibrahim

SEKAPUR SIRIH
yayasananda.com

Saudara saudari Alumni YAA yang dikasihi,

Bermula dengan tekad untuk mendidik anak bangsa, para pendidik di Yayasan Anda Akademik (YAA) telah mengabdikan jiwa dan raga mereka buat membantu kalangan pelajar yang susah dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pelajaran, meskipun mereka dibayar dengan upah yang rendah, sementara sebahagian mereka pula mengajar secara sukarela.

Demikian kemuliaan damir insan yang ikhlas menjayakan perubahan. Komitmen itu terbit dari hati nurani yang insaf akan mustahaknya pendidikan buat semua. Walhasil sebagaimana yang diketahui semua, YAA berjaya melahirkan sejumlah besar alumni dari pelbagai latar belakang, termasuklah barisan ahli akademik, para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia, pegawai kerajaan, tokoh korporat serta tokoh politik.

Memang perjuangan ini adalah perjuangan marhaen, bertunjangkan akidah, akhlak dan roh perjuangan yang tidak mengenal erti putus asa. Unsur-unsur inilah yang menjadi acuan penting untuk membangun peribadi yang komited dan tulus terhadap agenda islah masyarakat. Mengimbau sejarah hampir empat dekad penubuhan YAA sejak Mac 1971, ternyata ia bukan sesuatu yang mudah, malah getir untuk diharungi. Kekuatan yang dibina dalam kalangan pendidik hasil pengolahan ketiga-tiga unsur ini berhasil mewujudkan suatu atmosfera pendidikan yang berkesan dan bermakna.

Tindakan kita bermula daripada iktikad dan keyakinan terhadap kudrat dan takdir Allah SWT. Akidah atau simpulan keimanan yang tertanam dalam diri manusia inilah yang membebaskan manusia dari pengaruh perhambaan sesama manusia dan perhambaan terhadap kebendaan, melahirkan ketaatan hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Intisari tauhid kepadaNya sebagai landasan akidah lantas menjadi obor penerang yang memerdeka jiwa dan minda, menggerakkan jasad dalam haluan yang mendambakan kebaikan buat masyarakat.

Kemudian jiwa disuburkan dengan keluhuran akhlak. Berbeda dengan tanggapan umum, akhlak bukanlah semata-mata soal pemantauan moral (moral policing) individu, akan tetapi lebih daripada itu merangkumi seluruh aspek kehidupan, daripada sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar tatakelola kenegaraan. Apabila kita memiliki kefahaman begini, maka akan jelas mengapa akhlak menjadi unsur yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Dasar akhlak yang utuh akan menjadikan seseorang tidak berganjak dari kebenaran, atau keimanan mereka bergoncang dek kilauan wang, pangkat dan harta. Justeru perjuangan memperbagus akhlak cocok dengan apa yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW sebagai al-jihad al-akbar, yakni jihad yang terbesar, yang lebih kerap dihadapi ketimbang jihad bersenjata di medan perang.

Ini seterusnya membawa kita kepada sikap istiqamah dalam setiap ketika yang berpangkal pada roh perjuangan, yakni upaya dalam diri seseorang manusia untuk tekal berpegang pada prinsip kebenaran dan bertindak sesuai dengan kebenaran itu. Idealisme semata-mata tanpa dipacu oleh roh perjuangan tidak akan mampu bertahan lama, apatah lagi untuk terus hidup subur dalam generasi yang akan datang. Upaya ini memberi nafas kepada tindakan kita untuk menongkah arus kezaliman, dan mereka yang menyuburkan roh perjuangan dalam dirinya tidak akan pernah berundur meskipun jasadnya disakiti atau dipenjara. Roh perjuangan akan tetap hidup untuk meneruskan islah sedaya upayanya – islah mastata‘tu.

Oleh yang demikian, saya berharap agar usaha murni untuk memastikan para pewaris bangsa mendapatkan pendidikan yang bermutu berlandaskan ketiga-tiga unsur asasi ini dapat diteruskan, tidak kira apa jua platform yang digunakan oleh saudara saudari semua. Penghargaan khusus turut saya rakamkan buat seluruh barisan alumni YAA yang telah berkhidmat di YAA dengan seikhlas hati selama ini. Saya turut berharap agar Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dapat terus berkhidmat dengan cemerlang, bersuara dalam isu-isu pendidikan serta menjaga kebajikan ahlinya dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT mengekalkan kita dalam hidayah dan taufiqnya untuk terus berjuang demi kebenaran dan keadilan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

YB. Dato’ Seri Haji Anwar bin Ibrahim
21 April 2022/20 Ramadan 1443H

Penaung PAYAAM