UCAPAN ALUAN PENGERUSI
Dato' Dr. Suhaimi Ibrahim
Presiden PAYAAM
Kata Aluan
Syukur kehadrat Allah SWT dapat menemui Sahabat Alumni Yayasan Anda Akademik (YAA) dan pembaca semua dalam ruangan istimewa ini hasil cetusan idea Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM). Melalui ruangan ini memberi peluang kepada Sahabat Alumni dan pembaca untuk mengikuti sejarah dan aktiviti perkembangan semasa PAYAAM serta mengukuhkan semangat ukhuwah dan persahabatan dikalangan bekas guru, pelajar dan kakitangan YAA.
2. Yayasan Anda Akademik (YAA) pernah mencapai kegemilangan pada tahun 1970an sehingga 1990an sebagai institusi pendidikan swasta yang terkenal. Sumbangannya cukup besar dalam membantu agenda pendidikan negara ketika itu. YAA ini melahirkan ramai anak bangsa yang berjaya dalam pelbagai bidang, malah ada dikalangan alumni menjadi tokoh terkenal negara.
3. YAA mula ditubuhkan pada tahun 1971 di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke Bangunan UDA Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1978 berhampiran dengan Kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Maktab Perguruan Bahasa dan Maktab Perguruan Islam lembah Pantai.
4. Penubuhan YAA digerakkan oleh pemimpin belia dan mahasiswa pada ketika itu yang diketuai oleh Saudara Anwar Ibrahim (Datuk Seri) serta dibantu oleh ahli perniagaan bernama Saudara Daud Seman. Ianya ditubuhkan atas kesedaran pemimpin belia dan mahasiswa dari Universiti Malaya(UM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Institut Teknologi Kebangsaan(UTM), Maktab Perguruan Islam(MPI) dan Maktab Perguruan Bahasa(MPB) Lembah Pantai. Tujuan penubuhan YAA ialah untuk membantu memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran mendapatkan pendidikan secara menyeluruh sebelum meneruskan pengajian ke Universiti dalam negara maupun luar negara dan berjaya dalam akademik serta kerjaya.
5. YAA mempunyai tiga sesi pembelajaran memandangkan ruang kelas yang terhad iaitu sebelah pagi, petang dan malam untuk Tingkatan Tiga, Empat, Lima dan Enam. Memiliki tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman yang mengajar secara sepenuh masa dan separuh masa maupun secara sukarela yang sebahagian besar adalah terdiri dari Pensyarah Universiti, Pegawai Kerajaan dan Pemimpin Mahasiswa Universiti.
6. Memenuhi sambutan luarbiasa daripada mereka yang ingin mengambil peperiksaan STPM(HSC), SPM(MCE) serta SRP(LCE) mendorong YAA memperkenalkan program pendidikan jarak jauh iaitu melalui pendidikan YAA Gaya Pos serta menerbitkan beberapa buah buku rujukan dan majallah popular seperti Diskusi, Panji Masyarakat, Potensi dan lain lain.
7. YAA bukan sahaja menerima kehadiran penuntut dalam negara, malah menerima kehadiran penuntut dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Patani,Thailand. Ada empat perbezaan pendekatan sistem pembelajaran di YAA.
7.1 YAA ditubuhkan tidak berorientasikan keuntungan semata mata. YAA memberi penekanan kepada sifat kepimpinan, idealisma perjuangan dan cita cita untuk membina masyarakat Madani.
7.2 Tidak hanya berorientasikan peperiksaan semata mata sebaliknya menjurus kepada pembinaan sahsiah dan kerohanian dengan mewajibkan pelajar mengikuti subjek Prinsip Islam.
7.3 Penekanan dan pemahaman pelajar kepada keperluan Bahasa Inggeris dengan mewajibkan pelajar mengikuti subjek English Usage.
7.4 Pelajar diwajibkan mengulangkaji buku buku penulisan Sarjana Islam dan Barat. Selepas membaca, pelajar diwajibkan mengupas dan membahaskan isu kandungan buku berkenaan.
8. Bagi YAA setiap pelajar perlu didedahkan dengan pemikiran kritis dan kritikal terhadap isu serta persoalan yang berlaku dalam negara maupun antarabangsa
9. Pelajar dan guru juga didedahkan dengan tokoh ilmuan negara dan antarabangsa yang dijemput oleh Saudara Anwar Ibrahim seperti Prof Dr Ismail AlFaruqi(USA), Prof Dr Yusof AlQardawi(Qatar), Prof Dr Ahmad Totonji(Arab Saudi), Prof Dr Khurshid Ahmad(Pakistan), Prof Dr Nasir Masud(Indonesia), BJ Habibie(Indonesia), Ibu Zain, Prof Dr Shahnon Ahmad, Prof Dr Syed Hussein Al Attas, Prof Dr Naquib AlAttas, Prof Dr Osman Bakar, Prof Dr Harun Din, Prof Dr Bakar Hamid dll.
10. Ramai dikalangan Alumni YAA yang berjaya mencipta nama dengan kerjaya masing masing samaada dalam Perkhidmatan Awam, Swasta, Akademik, Peguam, Kehakiman, Polis, Tentera, Tokoh Korporat dan Ahli Politik yang ternama.
11. Justeru PAYAAM mengucapkan jutaan terima kasih diatas sumbangan dan jasa YAA terutama Pengasas YAA iaitu YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Kamarudin Md Nor dan semua guru dan serta para kakitangan yang telah meletakan YAA sebagai Institusi Pendidikan yang cemerlang dan terkemuka dalam melahirkan pelajar pelajar yang berjaya.
12. InshaaAllah melalui PAYAAM kita dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan, berganding bahu dan tenaga, berkongsi pengalaman dan kepakaran serta dapat bersama menjaga kebajikan sahabat alumni yang memerlukan. Dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang ada dikalangan sahabat alumni, diharapkan dapat meneruskan usaha dan cita cita untuk bergerak semula membantu pelajar pelajar disemua peringkat. Kita berusaha menggerakkan semula bagi menyediakan latihan kepimpinan dan bimbingan pendidikan kepada pelajar yang memerlukan terutama dikalangan anak anak Alumni. Namun kemungkinan modul YAA terpaksa diubah suai mengikut keperluan semasa bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan perindustrian 4.0.
13. Semoga usaha PAYAAM mendapat sokongan dari semua pihak dan mendapat keberkatan dari Allah SWT jua.
Dari Budu ke Kuala Kubu berbukit bukit…
Dari hulu sampailah ke Seberang…
Harumnya nama YAA bukanlah sedikit..
Dari dulu sampailah sekarang..
Coretan kata dari
Dato Dr Suhaimi Ibrahim
Presiden
Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM)